PENGERTIAN ISLAM, IMAN DAN IHSAN
Islam dari segi bahasa berasal daripada
kata dasar salama yang membawa maksud taat dan patuh, aman dan damai serta
terlepas atau jauh daripada kekurangan kekurangan zahir dan batin. Manakala
dari segi istilah syarak, Islam ialah tunduk, taat dan patuh kepada perintah
Allah s.w.t. seperti yang disampaikan oleh Nabi Muhammad s.a.w.
Iman pula berasal daripada kata dasar
al-amn yang bererti aman iaitu tiada rasa takut. Pengertian iman dari segi
istilah ialah mempercayai Allah s.w.t. dan rasul-Nya dengan pengucapan lidah
dan kepercayaan dalam hati tanpa rasa syak dan ragu.
Manakala ihsan pula ialah lawan kepada
kalimah isa’ah (berbuat jahat). Ihsan bermaksud berbuat baik kepada manusia dan
menghindari daripada melakukan perbuatan yang buruk dan jahat. Menurut Imam
Nawawi, ihsan akan mendorong seseorang agar sentiasa ikhlas dalam beribadat dan
mengerjakan ibadat kerana Allah s.w.t. semata-mata.
Tahukah anda, mengapa sebagai seorang
Muslim, kita wajib tunduk kepada Allah s.w.t.? Jawapannya mudah. Ini adalah
kerana maksud Islam dalam bahasa Arab ialah tunduk kepada Allah s.w.t. – Lisan
al-Arab.
Bagi mendapatkan gambaran yang
menyeluruh tentang ketiga-ketiga pergertian ini, kita perlu merujuk kepada
sumber Islam yang sahih iaitu sebuah hadis yang terkenal yang diriwayatkan oleh
Iman Muslim daripada Saidina Umar al-Khattab r.a seperti berikut:
Daripada Umar r.a. katanya: Pada suatu hari sedang kami duduk di sisi
Rasulullah s.a.w. tiba-tiba datang kepada kami seorang lelaki yang sangat putih
kainnya, sangat hitam rambutnya, tidaklah kelihatan atasnya tanda-tanda orang
yang sedang dalam perjalanan, dan tidak seorang pun daripada kami yang
mengenalinya sehingga dia duduk berdekatan dengan Rasulullah s.a.w. lalu dia
menyandarkan kedua-dua lututnya kepada kedua-dua lutut Rasulullah s.a.w. dan
meletakkan kedua-dua telapak tangannya ke atas kedua-dua paha Nabi s.a.w.
Kemudian dia berkata: Hai Nabi
Muhammad! Khabarkanlah kepadaku darihal Islam. Maka Rasulullah s.a.w. menjawab:
Islam itu ialah bahawa engkau mengakui tiada tuhan melainkan Allah dan
bahawasanya Muhammad itu pesuruh Allah, dan engkau mendirikan sembahyang, dan
engkau keluarkan zakat, dan engkau puasa bulan Ramadan, dan engkau mengerjakan
haji di Baitullah jika engkau sanggup pergi kepadanya. Dia berkata: Benarlah
engkau! Maka kami pun tercengang kerana dia yang bertanya dan dia pula yang
membenarkannya.
Katanya lagi: Maka khabarkan kepadaku
darihal Iman. Rasulullah s.a.w. menjawab: Iman itu ialah bahawa engkau beriman
kepada Allah, dan malaikat-Nya, dan segala kitab-Nya, dan para Rasul-Nya, dan
engkau beriman kepada takdir baik-Nya dan jahat-Nya. Dia berkata: Benarlah
engkau!
Kemudian dia bertanya lagi: Maka
sekarang khabarkanlah kepadaku darihal Ihsan. Rasulullah s.a.w. menjawab: Ihsan
ialah bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihat-Nya, tetapi jika
engkau tidak melihat-Nya maka sesungguhnya Ia melihat engkau.
(HR. Muslim)
Dalam hadis di atas, dijelaskan bahawa
orang yang datang menghampiri Nabi Muhammad s.a.w. lalu duduk seperti
orang yang sudah lama berkenalan dan bersahabat dengan Baginda ialah Malaikat
Jibril. Kedatangan Jibril a.s. ialah untuk menyampaikan dan mengajar Rasulullah
s.a.w. dan umatnya mengenai hakikat Islam, iman dan ihsan.
Apabila ditanyakan tentang Islam, Nabi
Muhammad s.a.w. pun menjawab sebagaimana yang terkadung dalam hadis tersebut
iaitu:
1. Mengucap dua kalimah syahadah.
2. Mendirikan sembahyang.
3. Mengeluarkan zakat.
4. Berpuasa.
5. Mengerjakan haji di Baitullah jika
ada kemampuan menurut syarak.
Sedikit ilmu untuk dikongsikan kepada
Kaum Muslimin sejagat.
0 Response to "Peringatan Ilmu : Pengertian Islam, Iman, dan Ihsan"
Catat Ulasan