"Lagenda
Hantu Bangkit Di Kuching"
Boyan
Kayong, satu legenda hantu bangkit (juga disebut sebagai orang kayong) yang
cukup misteri di Sarawak. Ia dikaitkan dengan penduduk asal Kampung Boyan dan
Kampung Gersik yang datangnya dari Pulau Boyan, Kabupaten Gresik di Jawa Timur.
Terdapat versi lain yang menyatakan bahawa istilah kayong itu berasal dari
bahasa Melanau di bahagian Matu Daro, dikaitkan dengan golongan perabangan,
kisah ikan sebelah dalam masyarakat Melanau dan sebagainya. Tetapi menerusi
sedikit pembacaan di laman sesawang, nama Boyan Kayong ini bermula di sebuah
tempat di Indonesia.
"Pulau Boyan:
Sejarah dan Fakta"
Boyan
atau Bawean, merupakan gelaran penduduk yang berasal dari Pulau Boyan. Boyan
membawa maksud 'ada sinar matahari' dan pulau ini dikenali sebagai Pulau Puteri
kerana golongan lelaki keluar merantau ke segenap tempat di Nusantara. Di dalam
pulau ini terdiri dari masyarakat Jawa dan beberapa kumpulan minoriti. Sebagai
contoh, orang Aceh yang mendiami pulau ini dikenali sebagai Boyan Aceh. Orang
Benua Kayong dari Kalimantan Barat yang mendiami pulau ini pula dikenali
sebagai Boyan Kayong.
Penduduk
Boyan antara golongan yang tekun berlayar dan merantau. Kebanyakan dari mereka
berlayar ke Malaysia dan Singapura, meneruskan keturunan dan bermastautin.
Menurut kajian Encik Khazin Mohd Tamrin dari Universiti Utara Malaysia pada
tahun 1988, bancian pada tahun 1947 menunjukkan populasi kemasukan orang Jawa
ke Sarawak meningkat, khususnya di Kuching dan membina penempatan- seperti
Kampung Jawa, Kampung Semarang, Kampung Boyan, Kampung Gersik dan lain-lain.
Kebanyakan penduduk Kampung Jawa dan Semarang berasal dari bahagian Jawa Tengah
manakala penduduk Kampung Boyan dan Gersik pula berasal bahagian Jawa Timur dan
Jawa Barat. Perbezaan penduduk Jawa pada penempatan dipengaruhi oleh keadaan
semasa seperti pengaruh Belanda dan Inggeris pada awal 1900an dan juga empayar
jajahan Jepun pada awal 1940an.
Boyan Kayong: Di
sebalik Legenda.
Legenda
Boyan Kayong ini kononnya bermula dengan kisah sebatang pokok kedondong gergasi
yang membesar dari tahun ke tahun, menghalang cahaya matahari dan menyusahkan
penduduk Boyan Kayong. Padahal selama ini Boyan membawa maksud 'ada sinar
matahari' tetapi sejak pokok tersebut tumbuh, cahaya matahari semakin malap dan
hasil tanaman tidak menjadi. Jadi, golongan lelaki Boyan Kayong memutuskan
untuk menebang pokok kedondong tersebut tetapi usaha mereka tidak berhasil.
Akhirnya, pokok kedondong itu bersuara pada hari ke-7dan memberitahu jika
tubuhnya tumbang, sumpah bangkit akan bermula.
Walau
bagaimanapun, penduduk tidak peduli. Pokok kedondong itu pun rebah ditebang dan
penduduk mengadakan keramaian bagi meraikan kejayaan tersebut. Entah tiba-tiba,
apabila menjelang malam, pokok kedondong bangkit semula selepas ditebang dan
keesokan harinya, pokok itu ghaib. Sepertimana pokok tersebut bangkit selepas
mati ditebang, penduduk di situ mula merasakan keanehan dalam hidup mereka.
Sumpah pokok tersebut benar-benar terjadi, dan keturunan hantu bangkit pun
bermula. Walaupun sumpah itu dikatakan mengejar selama 7 keturunan, ternyata
sumpah itu masih berterusan sehingga ke hari ini.
Biasanya,
keturunan Boyan Kayong dapat merasakan keanehan tersebut sebelum mati.
Dikatakan, kebangkitan mereka dapat dihalang dengan mencucuk jarum emas pada
hujung ibu jari kaki. Walaupun kesahihan perkara ini tidak dapat dipastikan dan
ia kedengaran tahyul, semua kejadian ini datangnya dari kekuasaan Allah SWT.
Wallahu'alam.
"Kisah
Penglipur Lara Hantu Bangkit"
Kisah Satu
Hantu
bangkit terkenal di Kuching pada era 70an dan 80an. Malah, semasa awal 90an,
kisah ini masih berlaku, terutama sekali di Kampung Boyan dan Kampung Gersik.
Pada sekitar tahun 70an, atuk admin (sebelah mak) suka bermukun dan menopeng.
Aktiviti bermukun dan menopeng itu sering dianjurkan di Kampung Boyan. Pada suatu
malam, atuk pergi ke Kampung Boyan sendirian menaiki perahu tambang dan
aktiviti bermukun itu selesai pada lewat malam. Ketika atuk dalam perjalanan
menuju ke Pengkalan Cik Omar (kini dikenali sebagai Pangkalan Boyan), atuk
dikejar oleh hantu bangkit yang bersuara sengau dan berbau busuk. Atuk berjaya
melepaskan diri dengan bantuan pokok pisang dan kembali semula ke Pangkalan
Batu dengan selamat.
Kisah Dua
Sambungan
dari kisah di atas, hantu bangkit biasanya mengejar sambil memekik-mekik
apabila terserempak dengan manusia. Dikatakan hantu bangkit akan menangkap dan
memeluk manusia sehingga mati. Ada banyak cara untuk mengelakkan diri dari
dipeluk oleh hantu bangkit. Sebagai contoh, bantal peluk jadi pengganti. Tetapi
jika perkara itu berlaku di kawasan luar, orang tua-tua menyarankan agar
mencari pokok pisang berhampiran bagi menyelamatkan diri dari dipeluk oleh
hantu bangkit.
Kisah Tiga
Entah
betul entah tidak, ciri-ciri keturunan Boyan Kayong yang asli dapat dilihat
menerusi lekuk bawah mata yang sedikit lebam dan renungan mata yang suram.
Kononnya, kita tidak boleh menerima hadiah pemberian atau memulangkan semula
apa yang kita pinjam dari orang yang berketurunan Boyan Kayong kerana terdapat
kemungkinan kitalah orang pertama yang akan dikunjungi oleh orang tersebut
apabila menjadi hantu bangkit. Dikatakan hantu bangkit akan datang ke rumah
pada sebelah malam (selepas kematiannya pada sebelah siang) dan memekik-mekik
meminta barangnya dipulangkan. Ketika zaman kolonial British di Kuching (zaman
kolonial bermula dari era 50an sehingga 70an), hantu bangkit ini dikenali
sebagai Hamlet.
Hantu Bangkit vs.
Boyan Kayong
Kisah
hantu bangkit ini jarang didengari di Kuching. Mungkin keturunan Boyan Kayong
itu sendiri cuba melupakan cerita ini, atau pemodenan serta teknologi telah
menutup kisah-kisah tersebut. Walaupun kisah Boyan Kayong dilihat sebagai
legenda dan sebahagian daripada mitos Sarawak, kejadian hantu bangkit adalah
kisah benar yang pernah terjadi di Kuching. Keturunan Boyan Kayong itu sendiri
biasanya tahu tentang perkara tersebut (FYI, tidak semua golongan perabangan
berketurunan Boyan Kayong). Walaupun kejadian hantu bangkit ini berlaku
terlebih dahulu di Sibu (pada era 50an) manakala di Kuching pula bermula pada
era 70an, masalah ini ternyata berlanjutan lebih lama di Kuching.
Mungkin
amalan manusia dan menuntut ilmu yang salah menjadi punca legenda ini wujud dan
menjadi ingatan.
Aktikel
asal: themaidensgiedd.blogspot.com
0 Response to "SATU LAGENDA YANG SANGAT POPULAR DI SARAWAK"
Catat Ulasan