LAGENDA RENCEH SI PEMBURU KEPALA MANUSIA

https://mrjambang.blogspot.my/

Lagenda Renceh Si Pemburu Kepala Manusia.



Gambar sekadar hiasan :-


     Di sebahagian tempat di Negeri Sembilan, ‘Renceh’ atau ‘ghenceh’ bermaksud ‘pemburu kepala’. Golongan Renceh bukanlah pembunuh upahan, tetapi mereka terpaksa membunuh kerana sudah pasti seseorang yang dipenggal kepalanya akan mati.

     Kepala yang diperolehi akan digunakan untuk upacara bersemah iaitu menjamu selera makhluk-makhluk halus yang menjadi penunggu di sesebuah kawasan yang akan dibangunkan. Jika tidak, makhluk-makhluk halus akan mengamuk. Mahkluk halus ini akan membuat kacau dan merasuk mereka yang lemah.

     Sekitar tahun 80-an heboh satu negara apabila dikatakan para pemenggal kepala ini berkeliaran mencari kepala-kepala kerana sebuah projek pembinaan pelabuhan di sebuah negeri di Pantai Timur sukar untuk dimulakan. Kejadian pekerja-pekerja meracau malahan ada yang berbunuhan sesama sendiri beramai-ramai tanpa sebab pernah terjadi. Semua ini dipercayai berpunca dari angkara makhluk halus yang tidak puas hati kerana tempat mereka diganggu.

     Bomoh-bomoh terkenal turut ditugaskan untuk menyelesaikan masalah itu tapi malangnya bomoh itu juga dirasuki oleh makhluk halus yang mendiami kawasan tersebut. Walaubagaimana pun, ada yang mengatakan bahawa bomoh berkenaan memang menjalankan upacara menurun dan memanggil makhluk halus untuk memasuki tubuhnya.

     Ketika bomoh ini sedang dirasuk (atau menurun) dia dikatakan meracau-racau meminta 27 (ada juga yang kata 47) kepala manusia dicampakkan ke kawasan laut, iaitu di tempat pelabuhan itu akan didirikan. Maka bermulalah satu episod mengerikan di negara ini yang berjalan secara rahsia dan dilindungi oleh kuasa politik. Kalau ditanya orang politik, mereka pasti menafikannya. Mereka akan kata ini dongeng, mitos dan macam-macam lagi.

     Renceh yang benar-benar handal diperlukan kerana hendak memenggal kepala orang bukanlah satu tugas yang mudah. Para Renceh handal ini kebanyakannya datang dari Negeri Sembilan terutama dari daerah Kuala Pilah, Rembau dan Jelebu. Jangan pula terkejut, kerana Renceh tidak semestinya orang-orang kampung di Negeri Sembilan.

     Mengikut yang empunya cerita, mereka terdiri dari pelbagai profesyen seperti kerani, pegawai-pegawai dari syarikat tidak kira kerajaan atau swasta pun ada, malah golongan profesional seperti jurutera dan arkitek pun ada. Cuma mereka ini mewarisi ilmu Renceh dari datuk-datuk mereka dahulu.

     Renceh dikatakan memiliki ilmu sihir dan akan memukau mangsanya. Menurut empunya cerita seseorang Renceh tidak akan dapat memukau sesiapa pun melainkan dia mesti berniat untuk memenggal kepala seseorang itu maka barulah pukaunya menjadi. Jika dia sengaja untuk memukau, maka ilmu pukaunya itu tidak akan menjadi.

     Dengan berpura-pura bertanya beberapa soalan terhadap mangsa, maka mangsa tiba-tiba akan mengikut arahannya. Alat digunakan yang digunakan untuk memeggal kepala mangsa menyerupai sabit, melengkung dan sangat tajam.

     Bagaimanapun pantang seorang Renceh ialah dia tidak boleh culik mangsa di tempat lain, dan penggal di tempat lain. Mangsa mestilah dipenggal di tempat di mana dia berada dan kepala yang diperolehi mesti dipegang pada bahagian rambut yang tumbuh di atas ubun-ubun kepala. Kemudian Renceh mesti berjalan 40 langkah dan selepas itu barulah kepala yang diperolehi boleh dimasukkan dalam bekas, biasanya karung guni.

     Perkara ini mesti dilakukan dengan penuh yakin dan dalam keadaan tenang. Dengan berkeadaan demikian seorang Renceh tidak akan dapat dilihat orang. Mereka bukan halimunan, cuma apabila mereka mempraktikkan dengan penuh yakin maka seolah-olah orang ramai tidak perasan dengan apa yang mereka lakukan.

     Renceh mesti membawa kepala terus ke tempat semahan. Ini bermakna seorang Renceh tidak boleh mengumpul sebanyak mungkin kemudian campak semua sekaligus. Dia mesti memenggal dan bawa terus kepala itu ke tempat yang ingin disemah. Sebab itu ramai Renceh yang diperlukan untuk melakukan kerja ini.

     Untuk pengetahuan pembaca, ada satu kejadian di Kuala Lumpur yang terjadi pada sekitar tahun 80-n di mana seorang ibu meninggalkan tiga orang anak-anaknya di dalam kereta ketika membeli-belah di gedung Globe Silk Store yang sangat terkenal pada masa itu.

     Selesai membeli-belah dan tiba di parking kereta maka bagai orang kerasukan ibu tersebut meraung, menangis dan menjerit terlolong-lolong dek kerana terkejut melihat ketiga-tiga anaknya yang berumur sekitar 9 hingga 14 tahun sudah tidak berkepala. Kejadian ini dipercayai dilakukan oleh tiga orang Renceh.

     Setelah negara mengalami arus pemodenan, kini ramai yang tidak percaya akan kewujudan Renceh. Kebanyakan generasi sekarang hanya menganggap cerita-cerita sebegini hanya sebgai sebuah cerita dongeng atau mitos semata-mata.


Sumber: KisahSeram

Related Posts:

0 Response to "LAGENDA RENCEH SI PEMBURU KEPALA MANUSIA"

Catat Ulasan