Hari ini aku kerja shift malam. Aku berkerja sebagai
seorang MA di sebuah hospital sekitar Lembah Klang, di jabatan kecemasan.
Hospital sekitar Lembah Klang macam ini memang tak pernah tak sibuk. Setiap
masa ada pesakit teruk-teruk. Jam sudah menunjukkan jam 01:30 pagi. Aku sedang
menaip report di komputer. Sejak petang tadi aku rasa loya dan pening kepala.
Mahu sahaja aku ambik MC dan berehat, tapi apabila memikirkan tiada rakan yang
sanggup menggantikan tempat aku, aku terus berkerja seperti biasa.
Dalam perjalanan pulang ke rumah, semasa sedang
memandu aku mula rasa lain macam. Aku setiap hari menggunakan lebuhraya untuk
pergi balik kerja. Aku biasanya memandu dengan kelajuan lebih kurang 100km/j ke
120km/j. Malam ini aku rasa lain, kereta aku tidak dapat cecah kelajuan itu
langsung! Aku pada mulanya fikir kereta aku mungkin ada masalah pada enjin,
tapi selepas melihat meter RPM aku sudah naik hingga 5000 RPM pada kelajuan
60km/j, aku mula rasa ada yang tak kena. Jalan itu sunyi. Lebuhraya itu menuju
ke Saujana Putra dan pada waktu begini memang tidak banyak kereta. Aku mahu
balik ke Shah Alam.
Entah kenapa, aku mula rasa seram sejuk. Tiba-tiba
semua cerita seram melintas di dalam kepala. Aku cepat-cepat menolak cermin
pandang belakang ke arah lain, aku taknak tengok belakang. Aku risau kalau ada
yang menumpang di tempat duduk belakang. Setakat ini masih tiada bau pelik atau
bunyi yang tidak menyenangkan. Tahap keseraman aku masih boleh dikawal. Aku
ternampak lampu sebuah kereta dari arah bertentangan. Aku rasa sedikit lega,
sekurang-kurangnya aku tahu aku tidak keseorangan. Apabila kereta itu semakin
rapat dan kami hampir berselisih, kereta itu bagi lampu tinggi. Berkali-kali
dia bagi lampu. Aku syak barangkali di depan ada roadblock, tak pun ada
kemalangan. Aku teruskan memandu, kereta aku masih berat, perlahan dari biasa.
Kemudian aku bertembung dengan sebuah lori pula,
lori itu juga beri lampu tinggi. Aku mula pelik tapi aku teruskan perjalanan
juga. Kemudian sebuah superbike memintas laju, semasa dia memotong aku,
penunggang superbike itu memperlahankan motornya, dia menoleh ke arah kereta
aku berkali-kali. Kemudian dia memecut pergi. Lebih kurang 5 minit kemudian,
sambil aku melayan rentak muzik lagu Ka Ching oleh Shania Twain, aku perasan
ada kelipan lampu biru putih dari belakang. Ah! Macam kereta polis peronda
lebuhraya. Lampu itu juga bagi lampu tinggi dari belakang dan memotong aku,
anggota di dalam kereta peronda itu membuka tingkap, melambai tangan seperti beri isyarat suruh aku berhenti. Aku makin
resah, apa sebenarnya yang berlaku? Kenapa semua kereta beri isyarat pada aku,
macam cuba beritahu aku sesuatu, seolah-olah ada yang tak kena pada kereta aku.
“Encik, turun dari kereta sekarang”
Arah anggota polis itu.
“Kenapa? Apa salah saya? Kalau nak periksa lesen
dengan IC, saya tak perlu keluar pun.”
Aku membalas. Bukan apa, aku risaukan jika yang
tahan aku itu bukan polis betul. Aku takut penyamun yang menyamar sebagai
anggota polis.
“Ini satu arahan! Turun dari kereta awak, masuk
kereta peronda kami, jangan toleh belakang!”
Anggota polis tadi semakin kasar. Dia sangat
mendesak. Dia berdiri kira-kita tiga meter di hadapan kereta aku. Kereta
perondanya pula di depan, rakannya sedang menunggu di dalam kereta.
Aku masih was-was. Aku risaukan jika aku masuk
kereta peronda itu, mereka akan culik aku dan bunuh aku, buang mayat aku dalam
estet. Tiba-tiba walkie talkie di pinggang anggota itu berbunyi.
“Sarjan Ghani kepada Koperal Farhan. Koperal Farhan
mohon laporkan lokasi terkinj. Apa status pemandu tersebut? Bawa dia pergi dari
situ serta merta. Over!” Anggota itu menjawab, “Koperal Farhan kepada Sarjan
Ghani, kami sudah sampai di sini dan sedang cuba membawa pemandu pergi. ETA to
base dalam masa 10 minit. Over!” Aku mula percaya mereka anggota polis yang
betul. Aku menoleh kiri dan kanan. Gelap gelita!
“Encik, diminta beri kerjasama, turun dari kenderaan
awak dan masuk ke kereta peronda!”
Anggota itu memanggil lagi. Kali ini aku akur. Aku
mengemas barang, mengambil telefon bimbit dan pouchbag aku. Belum sempat aku
membuka pintu tiba-tiba aku rasa kereta aku digoncang!
Aku meluru keluar, berlari sekuat hati menuju ke
arah kereta peronda, aku langsung tidak toleh ke belakang. Anggota polis itu
terus bawa aku pergi. Suasana di dalam kereta peronda senyap sunyi. Beberapa
minit kemudian kami sampai di sebuah R&R.
Aku cuba membuka mulut bertanya. “Apa yang berlaku
sebenarnya?” Koperal Farhan menoleh ke belakang. Dia kemudian menjawab. “Ada
orang call kami, dia cakap dia nampak ada benda berdiri atas bumbung kereta
awak.” “Ha?! Benda apa?!”
Aku terkejut. Serta merta bulu roma aku berdiri.
“Masa kami ikut awak dari belakang, apa yang kami
nampak perempuan berambut panjang pakai jubah putih tengah berdiri. Rambut dia
panjang sampai ke bonet.” Jawab Koperal Farhan ringkas.
Aku cuma mendiamkan diri. Aku minta mereka hantar
aku ke R&R Dengkil, kawan aku tunggu di sana. Kami berbual hingga subuh.
Pukul 07:30 pagi kami pergi semula ke tempat kereta aku ditinggalkan, mujur
kereta aku masih di situ dan tiada barang yang hilang. Hari itu aku mula demam
dan aku MC selama tiga hari.
Itu la serba sedikit kisah yang aku alami.
Sumber: hamba Allah
0 Response to "KISAH SERAM YANG BERLAKU KEPADA STAFF HOSPITAL"
Catat Ulasan