LEGENDA BUJANG SENANG
Lungu
ialah seorang pahlawan Iban yang terkenal di sekitar Sungai Skrang, Sarawak.
Kehebatan beliau sewaktu ekspedisi mengayau (potong kepala) musuhnya digeruni
dan bukan sedikit yang terkorban ditangannya. Kehebatan beliau bukan sekadar di
Sungai Skrang tetapi juga sampai ke Batang Lupar (batang=sungai besar dalam
bahasa Iban) di Bahagian Sri Aman hari ini.
Musuh-musuh
beliau percaya Lungu punya ilmu kebal yang tidak lut parang, lalu menculik
isterinya agar rahsia kekebalan Lungu dapat diketahui. Dilema antara kebanggaan
suku dan kasih sayang, Lungu datang ke Batang Lupar dengan harapan membebaskan
isterinya dan membunuh penculiknya. Namun, isteri Lungu ditombak mati sebaik
dibebaskan, manakala Lungu bertarung bermati-matian dengan musuhnya sehinggalah
ke tepi sungai Batang Lupar. Musuhnya telah mengetahui kelemahan Lungu iaitu
kekebalannya musnah tatkala beliau berada di perairan sungai itu. Lungu
ditombak, dipanah dan disula terbalik oleh musuhnya di sungai itu. Mayatnya dan
isterinya dibiarkan sehingga tenggelam dek air pasang.
Mujur
para dewata yang memberi kesaktian pada Lungu sekali lagi menumpahkan magis ke
atas mayatnya dan isterinya, lalu setibanya air pasang Lungu dan isterinya
bertukar menjadi buaya besar yang memiliki belang putih dibelakangnya untuk
menghantui keturunan pembunuhnya di sekitar Batang Lupar. Maka lahirlah Bujang
Senang, seperti yang diketahui. Nama Bujang Senang sendiri dinamakan bersempena
Sungai Senang, salah satu cawangan Batang Lupar dimana buaya itu sering kali
dijumpai.
Terus
ke masa depan, tahun 1982…
Bangan
anak Pali telah dilantik sebagai penghulu Rumah Pali oleh pihak residen Sri
Aman. Dua hari sebelum majlis pelantikan rasmi di rumah panjang mereka, beliau
dan abangnya, Kebir, berhasrat untuk mencari rezeki di sekitar Batang Lupar.
Menyusuri sungai ke arah hilir, mereka masuk ke kawasan Sungai Sungga, salah
sebuah cabang Batang Lupar yang besar itu dan mula mencari udang. Dengan
menggunakan sadak (sejenis bekas diperbuat daripada rotan), mereka menyusuri
sungai yang berparas pinggang dan mencedok udang.
Hari
sudah meninggi, sudahpun tengah hari. Seekor burung embuas (burung raja udang
(kingfisher), dalam bahasa Iban) tiba-tiba melintas. Kebir berasa tidak sedap
hati, kerana lintasan embuas bermakna sesuatu yang buruk bakal berlaku. Kebir
memanggil adiknya naik ke tebing, tetapi Penghulu Bangan tetap berkeras
meneruskan pencarian udang.
Penghulu
Bangan mula berpaling ke arah abangnya dan meredah air separas pinggangnya
apabila beliau terpijak sesuatu di dasar sungai yang keruh itu.
“Nama
utai tok, baka batang… (apakah benda ini, macam batang rupanya)”
Kebir
baru saja mahu membalas kata-kata adiknya apabila satu deburan kuat berdentum.
Penghulu Bangan hilang dari pandangan. Beberapa saat kemudian, seekor buaya
besar gigantic timbul dengan mayat Penghulu Bangan di rahangnya. Kebir terus
terjun dan memeluk ekor besar buaya itu demi menyelamatkan adiknya, tetapi
tidak berjaya. Kebir menyedari bahawa buaya itu berbelang putih dibelakang,
terus pulang ke rumah panjang dengan perkhabaran buruk.
Operasi
mencari berterusan selama 5 hari dengan pihak polis serta Perhilitan turut serta.
Suasana sedih menyelubungi rumah panjang itu apabila mayat Penghulu Bangan
dibawa pulang hanya bahagian atas sahaja. Tiada tanda-tanda buaya itu serta
sisa-sisa mayat ditemui.
Itulah
kebangkitan Bujang Senang dan mula diketahui umum. Berikutan itu, polis Sarawak
melancarkan ‘Operasi Buaya Ganas’ di semua sungai-sungai besar yang berpotensi
tinggi, seperti Batang Sadong, Samarahan, Lupar, Layar dan Saribas.
Batang
Lupar, 1984.
Badong
anak Apong, dari Rumah Nyawin tidak jauh dari Sungai Stirau, Batang Lupar
sedang sibuk mencedok udang apabila seekor buaya besar membaham beliau dan
diperhatikan beberapa penduduk kampung. Buaya itu dilihat melambung-lambung
mayat Badong sebelum menghilangkan diri di dalam sungai. Saksi berkata lebar
ekor buaya itu sebesar tong dram dan ada garis putih dibelakang. Usaha
diteruskan dan mayat mangsa dijumpai 2 hari kemudian tidak jauh dari tempat
kejadian. Operasi memburu dijalankan lagi tetapi tiada sebarang tangkapan
dibuat.
Batang
Lupar, 1987.
Seekor
burung embuas melintas tatkala Berain anak Tungging sedang mencedok tanah liat
di dasar sungai untuk menutup lubang-lubang di perahunya. Setelah siap, Berain
mahu pulang ke tebing apabila seekor buaya besar menariknya ke dalam sungai dan
kejadian ini disaksikan sendiri anak saudaranya. Dengan maklumat yang sama
seperti sebelumnya, seluruh penduduk sekitar Batang Lupar ketakutan dengan nama
Bujang Senang.
Tuai
rumah (ketua rumah panjang) Rumah Tuah, Tuah anak Tunchun percaya buaya ini
sememangnya Bujang Senang dan buaya yang sama membunuh adik beliau, Inchi anak
Tunchun pada 1962. Beliau yakin bahawa sumpahan itu memang benar dan buaya itu
ialah suatu entiti yang berhantu. Kata beliau, semua mangsa terlibat seperti
adiknya, Penghulu Bangan, Badong dan Berain mempunyai pertalian langsung dan
ini tidak dipertikaikan.
Menjelang
1989, banyak laporan di akhbar-akhbar tempatan memaparkan kisah kemunculan
kerap buaya-buaya besar di sekitar Batang Samarahan dan Batang Sadong,
seolah-olah menggambarkan sesuatu bakal berlaku. Terdapat pelbagai cerita,
seperti kononnya Bujang Senang telah berada di sungai-sungai tersebut untuk
melunaskan dendamnya bersama buaya-buaya lain. Benar atau tidak, wallahu’alam.
Sungai
Pelaban, cabang kecil Batang Lupar, 1992.
Seperti
kebiasaan, keluarga Bayang akan mudik ke hulu ke arah sawah padi mereka tidak
jauh di Sungai Pelaban. Air ketika itu hendak pasang, dan Dayang membantu
ibunya melintasi sungai separas pinggang ke seberang, sebelum dia naik ke
tebing. Abang beliau Enie Bayang sudah mula bekerja di kebun sambil ayah mereka
hendak ke rumah panjang mengambil kelengkapan.
Awan
kelihatan berbalam-balam. Dayang baru saja hendak naik apabila satu deburan
kuat menariknya ke dalam sungai. Dayang menjerit sekuat hati dan ibunya
terkejut besar apabila anak gadisnya sedang diheret seekor buaya besar.
Terpekik terlolong memanggil pertolongan, orang-orang yang ada terus menerpa ke
arah ibu Dayang. Abangnya bergegas dan bersama-sama rakannya terus menjalankan
operasi menjejak buaya itu.
Rumah
Bayang bergegar dengan berita itu, lantas turun ke sungai memburu buaya. Dayang
sudah hilang dibawa buaya ke dasar sungai. Bersama-sama mereka, Mandau mula
membaca mentera. Setelah lebih dua jam, Enie, abang mangsa menjumpai mayat
adiknya yang masih sempurna di celah-celah puing di salah satu lubuk sungai
itu.
Buaya
itu kembali dan mengganas. Dengan beberapa tembakan, buaya itu tetap melawan.
Oleh kerana besarnya saiz buaya itu, pasti sukar ditewaskan. Tetapi Mandau
tetap bermentera dan mula membaling tombak ke kepala buaya, tetapi patah. Awan
semakin gelap, air mulai surut. Buaya besar itu mula melarikan diri ke arah
Batang Lupar, tetapi dihalang oleh sebatang kayu besar yang merentangi mulut
sungai itu. Buaya itu terus diserang, ditembak dan ditombak. Buaya itu
mengganas dan meronta-ronta sehingga pergerakannya menjadi sedikit aneh. Buaya
itu berpusing dan mengelilingi puing-puing kayu seolah tahu kematiannya, dan
tidak lama kemudian, buaya besar itu menemui ajalnya.
Buaya
yang besar ini diangkut ke rumah panjang selama 4 jam perjalanan, dan barulah
disedari dibelakangnya ada garisan putih. Inilah dia Bujang Senang yang
diperkatakan, dan ramai sekali polis, Perhilitan serta wartawan datang membuat
liputan. Sayangnya bangkai buaya ini dibuang begitu sahaja ke laut tanpa
sebarang usaha membawa balik oleh pihak muzium, cuma kepalanya sahaja telah
dibawa pulang oleh Johnson Jong untuk tatapan umum di ladang buayanya di
Siburan, Sarawak.
Ada
yang mempertikaikan kesahihan buaya yang ditangkap, kerana ada yang berpendapat
buaya itu bukanlah Bujang Senang, dan pelbagai cerita lagi. Ada sesetengah
masyarakat Iban di sepanjang Batang Lupar mempercayai Bujang Senang masih
hidup, lebih besar dan sentiasa berada di sungai itu. Wallahu’alam.
Saksikan video di bawah:
0 Response to "SUATU LAGENDA YANG MASYHUR SUATU KETIKA DAHULU DI SERAWAK"
Catat Ulasan